Thursday, April 22, 2010

BATASAN BERGURAU SENDA




Agama Islam mengalakkan umatnya mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni. Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenagkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperolehi ketenangan dan kesejahteraan bahkan boleh melaksanakan diri dari keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda. Antara senda gurauan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan : Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, lalu berkata : Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Wahai ibu pulan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua. Lalu dibacakan firman Allah Subhanahu Wata'ala yang tafsirnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya :

"Dari Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam lalu baginda bersabda : Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata : Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab : Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta. Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah Subhanahu Wata'ala. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam berpesan dalam sebuah hadis maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Ahnu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi : Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah.

Oleh yang demikian, walaupun bergurau dibolehkan oleh syarak, namun terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga seperti kita tidak berlebihan dalam bergurau iaitu :

Pertama : Tidak berlebihan-lebihan dalam bergurau sehingga hilang sifat sopan santun.

Kedua : Hendaklah gurauan itu dengan tujuan untuk beramah-tamah atau menyenangkan hati orang lain.

Ketiga : Hendaklah dia tidak mengatakan perkara dusta ketika bergurau (tidak berkata kecuali dalam perkara yang benar). Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termidzi maksudnya :
"Daripada Bahzi bin Hakim, saya mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Celaka bagi orang yang berbicara dengan pembicaraan untuk membuat manusia ketawa lalu dia berdusta, celaka baginya, celaka baginya".

Keempat : Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain.

Kelima : Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menghina, mencerca, mengolok-olokkan atau menyakiti orang lain.

Keenam : Hendaklah dia tidak bergurau senda dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sungguh-sungguh seperti nikah, talak atau rujuk kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Tiga perkara boleh menjadi sungguh-sungguh dan senda guraunya pula menjadi sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi ganjaran kepada mereka. Tetapi jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus hubungan silaturrahim dan jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hujuraat ayat 11 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyataka keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim".

http://www.religious-affairs.gov.bn/

0 comments: